03 December 2008

ARAH QIBLAT


Bagi umat Islam, arah qiblat adalah suatu perkara yang penting dalam kehidupan seharian mereka. Ianya merupakan arah menghadap ketika melakukan ibadat seperti sembahyang, mengebumikan jenazah serta sebahagian amalan-amalan sunat yang lain seperti menyembelih binatang dan sebagainya.

Qiblat umat Islam adalah Ka’bah yang terletak di tanah Haram iaitu Kota Suci Mekah. Penentuan arah qiblat dengan kaedah tradisional yang menggunakan petunjuk alam seperti Matahari, buruj, tongkat istiwa’ dan bulan telah dimajukan dengan kaedah hitungan matematik oleh sarjana Islam. Pemerhatian ini telah dilakukan oleh sarjana-sarjana Islam termasuk al-Khawarizmi[1] (780 – 850), al-Battani[2] (858 – 929), Abu al-Wafa al-Buzjani[3] (940 – 997), Ibn al-Haitham[4] (965 – 1040), al-Biruni[5] (973 – 1048) dan al-Tusi[6] (1201 – 1274). Selain dari itu, yang terlibat dengan kiraan arah Qiblat termasuk Habash al-Hasib[7], al-Nayrizi (897), Ibn Yunus[8] (985), al-Khalili[9] (1365) dan al-Shatir[10] (1306 – 1375). Ibn Yunus dan al-Khalili telah membina jadual pengiraan bagi penentuan arah qiblat untuk memudahkan umat Islam yang berada jauh dari Ka’bah.

Bermula abad kelapan masehi lagi dan seterusnya, ahli astronomi[11] Muslim telah melibatkan diri mereka dan memainkan peranan yang penting dalam penentuan arah qiblat sebagai satu masalah matematik geografi. Aktiviti ini melibatkan pengukuran koordinat geografi[12] pada geran tanah dan pengiraan arah (azimuth) serta jarak dari satu tempat ke tempat yang lain dengan kaedah geometri atau trigonometri.[13]

* KA’BAH[14]
Ka’bah adalah bangunan paling mulia dalam Masjidil Haram, menjadi qiblat seluruh kaum muslimin di dalam solat mereka. Ka’bah adalah rumah ibadat pertama yang dibina di muka bumi.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya rumah ibadat pertama yang didirikan untuk manusia adalah yang terdapat di Bakkah (Mekkah), yang penuh keberkatan sebagai petunjuk kepada seluruh alam. Padanya terdapat tanda kekuasaan Allah, Maqam Ibrahim, barang siapa yang memasukinya ia dijamin keamanannya.”

Bangunan Ka’bah dibina daripada batu batan yang diambil daripada lima gunung iaitu Gunung Lubnan, Tur Zalta, Tun Sina, Judi dan Hira’.

Menurut sebahagian ulama, sebelum pembinaan Ka’bah oleh Nabi Ibrahim, Ka’bah dibina sebanyak tiga kali iaitu oleh malaikat, Nabi Adam dan Nabi Shith. Ka’bah hasil binaan Nabi Shith kekal beribu tahun lamanya sehinggalah banjir besar pada zaman Nabi Nuh memusnahkannya.

Menurut Al-Nawawiyy, Ka’bah dibina sebanyak lima kali, pertama oleh malaikat atau Nabi Adam atau Shith bin Adam seperti yang di sebut al-Suhailyy, kedua binaan Nabi Ibrahim, ketiga binaan Quraisy, keempat binaan Ibn Zubair dan terakhir binaan al-Hajjaj bin Yusuf al-Thaqaflyy. Struktur binaan terakhir inilah yang ada hingga ke hari ini. Namun, binaan Ka’bah sebenarnya pernah mengalami pembaikan besar pada zaman Sultan Murad ke-IV daripada pemerintahan Uthmaniyyah. Pada tanggal 19 Syaaban 1039 Hijrah bersamaan dengan 3 April 1630 Masehi, hari Rabu, telah berlaku banjir besar yang menyebabkan seramai lebih daripada 1,000 jemaah terkorban.

Pembaikan itu siap pada Ramadhan tahun berikutnya. Pada zaman pemerintahan Kerajaan Saud, Ka’bah mengalami dua kali pembaikan iaitu ketika pemerintahan Raja Saud bin Abd Aziz pada 1377 Hijrah/1956 Masehi kerana berlaku keretakan di beberapa bahagian dinding dan bumbung Ka’bah. Baginda memerintahkan supaya pembaikan dilakukan. Kedua, pada zaman pemerintahan Raja Fahd bin Abd Aziz[15]. Ka’bah sekali lagi mengalami kerosakan akibat binaannya yang terlalu lama sejak zaman Sultan Murad IV[16] (1612 – 1640M). Lantaran, pada 1417 Hijrah/1996 Masehi baginda al-Malik Fahd memerintah pembaikan dilaksanakan semula. Ka’bah mendapat perhatian pemerintah Islam sepanjang zaman kerana pembinaannya semata-mata untuk beribadat kepada Allah. Ini dipaparkan dalam doa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ketika mereka membina Ka’bah.

Firman Allah :
Yang bermaksud: “Dan (Ingatlah), ketika Ibrahim meninggikan (membina) dasar Baitullah bersama Ismail (seraya berdoa): “Ya Tuhan kami terimalah daripada kami (amalan kami), Sesungguhnya Engkaulah yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui. Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepada Engkau dan tunjukkanlah kepada kami cara dan tempat ibadat haji kami, dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang. Ya Tuhan kami, utuslah untuk mereka seseorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka al-Kitab (al-Quran) dan Al-Hikmah (as-Sunnah) serta menyucikan mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Baqarah, ayat 127-129).

Justeru, pengunjung Makkah perlu memelihara diri, tingkah laku, pekerjaan syirik dan dosa kerana Ka’bah dibina untuk menafikan syirik dan mendirikan ibadat semata-mata kepada Allah.
Firman Allah:
Yang bermaksud: “Dan (ingatlah), ketika kami memberikan tempat kepada Ibrahim di tempat Baitullah (dengan menyatakan): “Janganlah kamu mempersyarikatkan (menduakan) sesuatu pun dengan aku dan sucikanlah rumah-Ku. Ini bagi orang yang tawaf, dan orang yang beribadat dan yang rukuk serta sujud.” (Surah al-Hajj, ayat 26).

Ketinggian binaan Ka’bah adalah 14 meter, manakala panjangnya Hajarul Aswad ke Rukun Iraqi adalah 12.84 meter. Ukuran dari Rukun Iraqi ke Rukun Syami adalah 11.28 meter. Ukuran di antara Rukun Syami dan Rukun Yamani adalah 12.11 meter, manakala ukuran panjang antara Rukun Yamani hingga ke Hajarul Aswad adalah 11.52 meter. Terdapat pelbagai nama dan panggilan yang merujuk kepada Ka’bah. Kepelbagaian nama itu menunjukkan kehebatan dan kemuliaan Ka’bah. Antaranya:

Al-Baityang bermaksud rumah.
Baitullahyang bermaksud rumah Allah.
Al-Bait al-Haramyang bermaksud rumah yang mulia.
Al-Bait al-Atiqyang bermaksud rumah lama yang mulia.
Al-Qiblahyang bermaksud qiblat.

Keseluruhannya Ka’bah adalah suatu binaan mulia yang penuh dengan keberkatan. Al-Tabrani meriwayatkan di dalam Al Mu`jam Al Kabir dari Ibn Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menurunkan 120 rahmat ke atas Ka’bah setiap hari, 60 untuk orang yang melakukan tawaf, 40 untuk orang yang solat dan 20 untuk orang yang memandangnya.” Namun, terdapat beberapa bahagian Ka’bah yang menjadi tumpuan dan perhatian lantaran kelebihan yang dimilikinya.
Wallahu'alam.......

0 comments: