18 November 2008

SUARA PUSAT ISLAM 1

AL-QURAN PENJAMIN HAK ANAK-ANAK SERTA KESEJAHTERAANNYA

Anak-anak merupakan amanah yang perlu ditunaikan oleh kedua ibubapa. Wujudnya anak-anak di rumah dirasakan sebagai satu nikmat serta perhiasan dan penyeri. Anak-anak boleh nengeratkan hubungan kemesraan di antara kedua ibubapa. Anak-anak merupakan kurniaan Allah s.w.t. dan hanya Dia sahaja Yang Maha Berkuasa mengurniakan atau sebaliknya, sama ada cepat atau pun lambat. Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Kahfi, ayat 46 :

Maksudnya: “ Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan”.

Firman Allah s.w.t. dalam Surah As-Syura, ayat 49-50 :

Maksudnya : “ Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi; ia menciptakan apa yang dikehendakiNya; ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.
Atau ia mengurniakan mereka kedua-duanya - anak-anak lelaki dan perempuan, dan ia juga menjadikan sesiapa yang dikehendakiNya itu mandul. Sesungguhnya ia Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa ”.

Anak merupakan kemegahan dan kebanggaan kedua ibubapa, sekalipun kadang-kadang mereka ditimpa dengan pelbagai penderitaan dan kesusahan angkara anak-anak itu. Tetapi mereka menderita dan berusaha habis-habisan hinggalah anak-anak itu membesar.

HAK ANAK-ANAK YANG BARU DILAHIRKAN KE ATAS IBUBAPANYA

Apabila bayi dilahirkan, Islam telah mengariskan satu suruhan yang begitu baik iaitu memperdengarkan azan di telinga bayi tersebut. Hikmah di sebalik sunnah ini ialah untuk merangsang pendengarannya iaitu deria pertama yang sudah berfungsi dengan sempurna (dengan bertakbir, mengucap dua kalimah syahadah, mengesakan Allah s.w.t dan mengingati kedua ibubapanya) bahawa pendidikan yang betul adalah pendidikan yang didasarkan kepada ketaqwaan kepada Allah s.w.t dan hidayah rasulNya. Kemudian, dilakukan aqiqah, memberi nama kepadanya pada hari ketujuh dengan nama yang baik dan diredhai Allah s.w.t.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud mengenai hal ini, yang bermaksud : “Sesungguhnya kamu semua akan dipanggil pada hari kiamat kelak dengan nama masing-masing. Oleh itu, hendaklah mengelokkan nama kamu”.

Nama tersebut hendaklah menyedapkan telinga orang yang mendengarnya dan kepada yang punya nama itu, jauh daripada makna-makna yang buruk dan tidak baik, kejahatan serta nama-nama binatang. Memberi nama perlu dilakukan dengan baik iaitu dengan niat supaya ianya meninggalkan kesan yang baik kepada yang punya nama berkenaan sepanjang hayatnya. Sebaliknya, apabila seseorang itu diberi nama yang buruk, ianya akan mendedahkannya kepada tekanan jiwa selagi dia dipanggil dan masih mengekalkan nama tersebut.

TAHUN PERTAMA KANAK-KANAK DAN KESIHATAN MENTALNYA

Seperti yang sedia maklum bahawa tahun-tahun pertama kanak-kanak amat penting dalam pembentukan keperibadiannya dan juga dalam menyumbang ke arah penyesuaian yang sempurna pada masa hadapannya, kerana inilah menjadi wajib ke atas kita para ibubapa dan pendidik supaya mengetahui cara yang paling baik untuk berurusan dengan kanak-kanak khususnya pada peringkat awal umurnya. Tindakan sedemikian boleh menjaminkan proses perbezaan dan perkembangan sihat yang boleh merealisasikan keperluan fisiologi, psikologi dan kemasyarakatan.
Suasana sekeliling kanak-kanak termasuk cara layanan ibubapa terhadapnya merupakan faktor yang amat penting dalam pembentukan sahsiahnya, haluannya, kecenderungannya dan pandangannya dalam kehidupan. Maka ibubapa perlu menyediakan suasana yang sihat dan soleh (baik) kepada kanak-kanak sejak kelahirannya lagi.
Perlu disebut juga bahawa kanak-kanak pada tahun-tahun pertama umurnya dapat mempelajari banyak perkara dan pengalaman yang boleh membantunya untuk meneruskan perkembangannya secara selamat. Maka jika kanak-kanak dalam tempoh ini dapat menjalani kehidupan dalam suasana kekeluargaan yang tenang, dipenuhi perasaan kasih sayang, kelembutan, persaudaraan, kebebasan terpimpin dan mengamalkan sikap berterus terang, yang mana semuanya ini perlu wujud secara berterusan. Pasti kanak-kanak itu akan terus membesar secara sempurna dan boleh melalui segala cabaran hidup dengan jayanya.



****** Wallahu A’lam ******

Disediakan Oleh : Pen. Pegawai Pusat Islam DQ.

0 comments: